Monday, March 4, 2013

KEK KARAMEL PELANGI

Sememangnya saya rasa sangat teruja untuk mencuba kek ini setelah ianya sangat popular di laman facebook dan forum2 resipi. Ada berbagai version resipi yang saya jumpa, saya telah mencuba 2 resipi malangnya yang satu menjadi dan satu kurang menjadi. Sudahnya saya terpaksa men'tong sampahkan' kek yang tak menjadi...agak sedih sebab terlalu banyak telur yang terpaksa di korbankan untuk resipi ini!


Jom jamu mata dulu.......



Dan lagi...

Ini merupakan version Kek Karamel yang menjadi. Pernah terjadi masalah apabila putih telur tak menjadi meringue seperti yang sepatutnya, dan kek ini akan mendap semacam. 

Membuatnya tak susah tapi mesti kena dengan tekniknya. Maklumla, kalau tak menjadi, agak sayang sebab banyak telur yang akan terbazir...Well, inilah resipinya!



Bahan-bahan untuk Gula Hangus:
  • 2 sudu besar gula (boleh buat 1 1/2 sb untuk air gula ngam2 sahaja)
  • Loyang 8 inci / 20cm
Cara-cara:
  1. Masukkan gula di tengah loyang kek, agak-agak di kawasan api dapur supaya senang gula cair.
  2. Panaskan dengan api perlahan di atas dapur. 
  3. Biarkan sehingga gula cair dan bewarna perang dan tidak perlu di kacau. 
  4. Bila semua gula sudah hancur tutup api dan ratakan air gula memenuhi dasar loyang.
  5. Ketepikan dan sediakan pula adunan puding. Air gula akan mengeras, biarkan sahaja. Gula ini akan cair apabila di bakar bersama dengan adunan puding dan kek nanti.

Bahan-bahan untuk Puding
  • 400ml susu cair
  • 3 biji kuning telur (Putih telur masukkan terus ke dalam mangkuk pengadun untuk meringue nanti)
  • 2 biji telur
  • 140 gram gula castor
  • 1 sudu kecil esen vanila
Cara-cara:
  1. Asingkan 3 biji putih telur dan kuning telur. Masukkan 3 kuning telur di dalam mangkuk kecil dan 3 biji putih telur ke dalam mangkuk pengadun untuk bahan kek adunan 1 (meringue) nanti..
  2. Masukkan 2 biji telur ke dalam mangkuk telur kuning dan kacau perlahan-lahan supaya tidak berbuih.
  3. Kemudian satukan telur dan semua bahan-bahan di atas ke dalam mangkuk besar. Kacau perlahan-lahan supaya tidak berbuih.
  4. Bila semua sebati, tapiskan ke dalam loyang gula hangus tadi. 
  5. Semasa memasukkan bancuhan puding,  gula hangus akan berbunyi seperti kaca pecah.
  6. Tidak perlu dibakar dahulu adunan ini.Ketepikan. Sediakan pula lapisan untuk kek.

 Bahan-bahan untuk Kek:

Adunan 1 (Meringue)
  • 6 biji putih telur ( 3 biji putih telur dari bahan puding + dgn 3 biji putih telur baru)
  • 70 gram gula castor
  • 1 sudu kecil cream of tar tar
Cara-cara:
  1. Pukul putih telur sehingga berbuih.
  2. Masukkan gula castor dan cream of tar tar.
  3. Pukul lagi dengan speed tinggi sehingga kental dan kaku.
  4. Apabila mangkuk pengadun diterbalikkan adunan tidak tumpah. 
  5. Ketepikan. Guna mixer yang sama tidak perlu basuh terus buat adunan 2 untuk kek.


Adunan  2:
  • 3 biji kuning telur ( kuning telur dari bahan meringue tadi)
  • 130 ml air
  • 50 ml minyak masak
  • 70 gram gula castor
  • 140 gram tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
Cara-cara:
  1. Ayak tepung bersama baking powder. Ketepikan.
  2. Pukul kuning telur, air dan minyak masak sehingga putih dan gebu.
  3. Masukkan gula castor dan pukul lagi sehingga kembang
  4. Matikan mixer.
  5. Kemudian masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit. Kacau dengan senduk kayu secara kaup balik sehingga semua bergaul sebati.
  6. Masukkan separuh adunan 1 (meringue) ke dalam adunan 2 seperti gambar 8. Kaup balik perlahan-lahan. Kemudian masukkan semua adunan 1 dan kacau rata secara kaup balik.
  7. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian sama banyak.
  8. Warnakan dengan warna pilihan anda.
  9. Sendukkan/sudukan setiap warna berselang seli. Jika mahukan belangnya lebih besar, letakkan 2 senduk untuk setiap warna. Lakukan berselang seli sehingga habis
  10. Panaskan oven 160 degree. (panaskan sekali dgn tray oven yang ada air utk bain marie nanti)
  11. Bakar secara double boiler atau bain marie selama 50 minit atau sehingga kek dan puding masak di rak paling bawah dalam oven.
 
SELAMAT MENCUBA!

*penghargaan resipi drp kongsiresepi.com

Saturday, March 2, 2013

Mengapa TAKAFUL?

Assalamualaikum.. 
Para pembaca sekelian..hari ini kita menyaksikan perkembangan Kewangan Islam yang begitu pesat di negara kita.Bukan sahaja umat Islam memilihnya malahan orang bukan Islam juga menjadikannya pilihan mereka. Ini kerana ternyata banyak kelebihan dalam Sistem Kewangan Islam berbanding Sistem Kewangan Konvensional. Salah satu cabang Kewangan Islam adalah Takaful ataupun perlindungan berasaskan syariah. Sekilas pandang ianya seakan sama dengan insurans konvensional namun jika diteliti dari segi konsep dan amalannya nyatalah ia benar-benar berbeza.Namun amatlah dikesalkan kerana masih ramai umat Islam di negara ini yang begitu mengagung-agungkan insurans konvensional yang mereka sertai kerana dikatakan memiliki servis yang pantas, efektif dan produk yang sangat bagus sedangkan produk Takaful yang ada di pasaran pada hari ini tidak kurang hebatnya.Jika bukan kita sebagai umat Islam yang menyokong sistem kewangan kita, siapa lagi?

ERTI KONSEP TAKAFUL

Kata dasar bagi perkataan 'takaful' ialah 'kafala' yang bererti untuk menjamin, menjaga atau memelihara. Oleh itu 'takaful' merupakan katanama yang berasal daripada kata kerja 'takafala' maka ianya bererti 'saling menjamin', 'saling menjaga' dan 'saling memelihara'. Di dalam Al-Quran terdapat perkataan-perkataan 'kafala' dan 'yakfulu' yang memberi makna 'memelihara' atau 'menjaga'. Sebagai contoh, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Maka Tuhannya menerima ia sebagai nazar dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan Allah menjadikan Zakaria pemeliharanya (penjaganya)..." (Surah Ali-Imran:37) Di dalam perniagaan Takaful, pemahaman dari maksud ini merupakan satu agenda yang penting. Ianya diterapkan kepada semua peserta yang mengambil perlindungan takaful untuk berniat ikhlas bagi saling jamin-menjamin di kalangan mereka ketika ditimpa musibah. Secara amnya, objektif dalam industri Takaful sebenarnya mempunyai persamaan dengan industri Insurans Konvensional. Kedua-duanya merupakan instrumen untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik kerana ditimpa musibah. Secara jelasnya, kedua-dua instrumen ini merupakan satu cara yang moden untuk memindahkan risiko yang berlaku dan sudah menjadi kebiasaan, sesuatu ganjaran akan diberi kepada pihak yang sanggup menerima pemindahan risiko ini. 

PERBEZAAN TAKAFUL DAN INSURANS KONVENSIONAL 

Objektif Insurans dapatlah diungkapkan sebagai "Golongan ramai yang bernasib baik membantu golongan yang tidak bernasib baik". Sememangnya objektif tersebut adalah diiktiraf oleh Islam. Al-Quran dalam surah al-Maidah, ayat 2, secara terangnya turut menyatakan galakkan oleh Allah kepada manusia untuk mengamalkan sikap tolong-menolong, bermaksud: "Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan" . Apa yang menjadi persoalannya ialah apakah ciri utama yang membezakan Takaful dan Insurans Konvensional? Tanggal 15 Jun 1972 merupakan tarikh penting bermulanya pengumuman terhadap penerokaan dan kajian yang dibuat ke atas kontrak Insurans Konvensional. Pada tarikh tersebut Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam persidangan yang kelimanya telah memutuskan iaitu insurans nyawa sebagaimana yang dijalankan oleh syarikat-syarikat insurans yang ada pada masa ini adalah suatu muamalah yang fasid (rosak/tidak sah) yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam dari segi aqadnya kerana mengandungi unsur-unsur gharar (tidak ketentuan), maisir (judi) dan riba. 

ELEMEN GHARAR, MAISIR DAN RIBA DALAM KONTRAK INSURANS

A. Gharar 
Maksud al-Gharar ialah "Ketidakpastian". Maksud ketidakpastian dalam transaksi muamalah ialah: "Terdapat sesuatu yang ingin disembunyikan oleh sebelah pihak dan ianya boleh menimbulkan rasa ketidakadilan serta penganiayaan kepada pihak yang lain". Menurut Ibn Rush maksud al-Gharar ialah: "Kurangnya maklumat tentang keadaan barang (objek), wujud keraguan pada kewujudkan barang, kuantiti dan maklumat yang lengkap berhubung dengan harga. Ia turut berkait dengan masa untuk diserahkan barang terutamanya ketika wang sudah dibayar tetapi masa untuk diserahkan barang tidak diketahui". Ibn Taimiyah menyatakan al-Gharar ialah: "Apabila satu pihak mengambil haknya dan satu pihak lagi tidak menerima apa yang sepatutnya dia dapat". Al-Gharar ditakrifkan dalam Kitab Qalyubi wa Umairah menyatakan Mazhab Imam Al-Shafie mendefinasikan gharar sebagai: "Satu (aqad) yang akibatnya tersembunyi daripada kita atau perkara di antara dua kemungkinan di mana yang paling kerap berlaku ialah yang paling ditakuti". Prof Madya Dr. Saiful Azhar Rosly menyatakan: "Gharar yang dimaksudkan dalam perbahasan sah atau tidak sesuatu kontrak itu merujuk kepada risiko dan ketidakpastian yang berpunca daripada perbuatan manipulasi manusia mengakibatkan kemudaratan ke atas pihak yang dizalimi. Umpamanya dalam jual beli kereta terpakai, pembeli tidak diberitahu tentang keadaan sebenar kenderan tersebut. Setelah selesai perjanjian jual beli, gharar dalam objek jual beli itu boleh dijadikan alasan membatalkan kontrak. Ini kerana gharar itu terhasil daripada perbuatan zalim yang disengajakan" Kontrak Insurans mengandungi unsur gharar kerana: "Apabila tidak berlaku tuntutan, satu pihak (syarikat insurans) akan mendapat semua keuntungan (premium) sementara satu pihak lagi (peserta) tidak mendapat sebarang keuntungan" Keadaan ini bertepatan dengan definisi gharar oleh Ibn Taimiyah yang menerangkan: "Gharar dalam kontrak berlaku apabila satu pihak mendapat keuntungan sementara sebelah pihak lagi tidak menerimanya" Menurut laporan Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Secara Islam di Malaysia: "Adalah jelas di dalam kontrak insurans yang diamalkan sekarang mengandungi elemen gharar kerana Ma'kud Alaih (barang) tidak jelas, dan ianya berkait dengan:- 

  i. Tidak diketahui dengan jelas samada dapat atau tidak bayaran 
     yang dijanjikan. 
 ii. Tidak diketahui kadar bayarannya. 
iii. Tidak diketahui bila masanya. 

Badan Petugas menyatakan kewujudan gharar dalam kontrak insurans kerana Kontrak Insurans adalah di atas "Dasar Jual Beli". Dalam Islam, jika sesuatu itu terlibat dengan muamalah jual beli maka ia mesti memenuhi rukun dan syarat jual beli. Antara rukunnya ialah: [a] Penjual dan Pembeli 
[b] (Ijab dan Qabul) Aqad 
[c] (Ma'kud Alaih/Subject Matter) Barang 

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kewujudan ketidakpastian 'barang' dalam kontrak insurans kerana syarat barang yang telah ditetapkan oleh Syarak tidak dapat dipenuhi. Bagi Islam, syarat-syarat bagi setiap rukun-rukun tersebut adalah penting dan mesti dipenuhi. 
Di antara syarat barang yang mesti dipenuhi ialah: 
[a] Barang tersebut dapat diserahkan dalam majlis akad. 
[b] Masa penyerahannya telah ditetapkan. 
[c] Barang tersebut telah ditentukan jenis dan kuantitinya. 
[d] Tempat untuk diserahkan barang telah ditentukan. 
[e] Bukan barang yang mengandungi unsur-unsur najis dan dilarang Syarak. 

Seperti juga dengan pasangan yang ingin berkahwin. Mereka mestilah memenuhi rukun kahwin seperti adanya pengantin lelaki, perempuan, wali, 2 saksi lelaki yang adil dan ijab qabul. Tetapi jika salah satu rukun tersebut tidak dapat dipenuhi maka perkahwinan itu akan menjadi tidak sah. Namun ada pendapat yang menyatakan bahawa 'barang' dalam kontrak insurans adalah jelas kerana ianya telah tercatat dalam kontrak dan akan diserahkan apabila terjadinya kemalangan. Lebih mengukuhkan lagi hujah tersebut ialah apabila mahkamah sendiri akan mendengar kes seumpama itu. Kita mengakui pendapat ini dan kerana itulah dinyatakan perbezaan sebenar antara Takaful dan Insurans ialah dari segi "Keyakinan/Belief". Cuba kita perhatikan, apakah bezanya pasangan yang berkahwin dengan pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan kecuali melalui kontrak yang dianggap sah oleh undang-undang sivil? Tentu sekali wujud perbezaan walaupun kontrak yang dibuat oleh pasangan tersebut adalah lengkap dengan segala hak antara kedua pasangan telah termaktub dan diditilkan dalam kontraknya, namun bagi Islam ia tetap tidak sah kerana berlawanan dengan Syarak. 

B. Maisir (Judi
Para ulama' menyatakan Maisir dan Gharar mempunyai kaitan yang amat rapat. Ini bererti jika sesuatu transaksi itu mengandungi unsur gharar maka dengan sendirinya unsur judi turut ada. Kaitan antara keduanya adalah terlalu rapat dan saling berkait. Maisir (Judi) dalam kontrak insurans wujud bilamana: 

[a] Peserta membayar premium yang kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya. 
[b] Peserta hilang wang premium apabila peristiwa ingin dilindungi (the insured event) tidak berlaku. 
[c] Syarikat akan rugi jika terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah premium yang diterima. 

C. Riba 
Unsur riba terdapat dalam urusniaga Pinjaman dari Polisi (policy loan) yang ditawarkan kepada peserta dalam produk Insurans Nyawa. Dalam sistem kemudahan pinjaman ini, Syarikat insurans akan mengenakan bayaran faedah (interest) kepada peserta yang membuat pinjaman. Jelas sekali bahawa bayaran faedah tersebut merupakan riba yang dilarang oleh Islam. Elemen riba turut wujud dalam penjanaan keuntungan pelaburan dan insurans yang akan digunakan dalam pembayaran pampasan kepada pemegang polisi. Ini kerana dana-dana tabungan insurans, kebanyakannya dilaburkan dalam instrumen kewangan seperti bon dan juga saham yang kerap melibatkan syarikat-syarikat yang berurusniaga dengan kegiatan sistem perbankan konvensional. 


PENYELESAIAN KEPADA INSURANS KONVENSIONAL 
Para ulamak telah sepakat memutuskan Takaful sebagai ganti kepada Insurans Konvensional. Dasar Tabarru'at menjadi teras utama yang membina paksi Takaful. Penggunaan dasar ini turut menyelamatkan pengurusan Takaful untuk seiring dengan keredhaan Syarak dalam soal Muamalah Islam. Dengan penggunaan Tabarru'at ini maka Takaful terselamat dari terkena unsur gharar dan maisir. 


TAKRIF TABARRU'AT 
Tabarru'at merupakan perkataan Arab yang bermaksud menderma secara ikhlas. Dalam konteks perniagaan Takaful, setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah hadir dengan niat yang ikhlas untuk menderma bagi membantu para peserta yang lain jika mereka menghadapi musibah. Dalam erti kata yang lebih tepat ialah, semua peserta tersebut bersetuju untuk saling membantu dikalangan mereka di atas niat yang sama. Penegasan ini dapat dilihat dari fatwa oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi yang menegaskan insurans Islam boleh diadakan dengan syarat setiap peserta menderma di dalam satu tabung untuk membantu sesama mereka. 

Hari ini, kebanyakan syarikat yang menjalankan Takaful adalah terlibat dengan dunia perniagaan. Oleh itu Tabbaru'at yang bersyarat, diperkenalkan di mana setiap peserta yang ingin menyertai takaful mestilah menderma sesuai dengan risiko yang dibawanya. Syarikat terpaksa menetapkan kadar Tabarru'at kerana ingin memastikan Tabung Tabarru'at yang disertai oleh semua peserta tidak terjejas bagi memberi keadilan kepada semua pihak. Justeru itu, jika seseorang peserta membawa risiko yang besar maka kadar tabarru'at yang mesti disumbangkan mestilah sepadan dengan risiko tersebut. Terdapat juga sesetengah pendapat yang merasakan penggunaan istilah Tabarr'uat adalah tidak tepat kerana amalannya adalah berbeza dengan maksudnya yang bererti peserta tidak boleh disyaratkan jumlah pembayaran kerana ia adalah ikhlas semata-mata. Namun dengan operasi dan mekanisme yang digunakan dalam industri Takaful, diharapkan ianya tidaklah dijadikan isu yang besar. 

KESIMPULAN 
Penggunaan Tabarru'at yang menjadi dasar Takaful telah berjaya melahirkan satu Insurans Islam yang tidak bercanggah dengan Syarak. Unsur-unsur Gharar dan Maisir telah dapat dihapuskan dengan kewujudan dasar tersebut. Insya Allah dengan adanya penyelidikan yang makin mendalam, maka aqadnya dapat dicambahkan lagi dengan instrumen yang lebih mendatangkan kebaikan kepada para pesertanya.